Ogos 02, 2010
berHUTANG
Allah menggariskan dengan terperinci cara atau adab berkaitan hutang-piutang. Membayar balik hutang adalah sesuatu yang wajib dilakukan sehingga harta orang yang sudah meninggal dunia pun perlu ditolakkan hutang-piutang mereka terlebih dulu, sebelum diagihkan kepada waris.
Islam bukan saja mewajibkan umatnya membayar hutang, malah menjanjikan bahawa kalau berhutang dengan niat untuk membayar, Allah akan memudahkan kita.
Sebaliknya, kalau berhutang dan berniat tidak mahu membayar, maka Allah Maha Kaya dalam perhitungan-Nya. Perkara ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bermaksud: “Sesiapa yang berhutang dengan niat untuk membayar balik, Allah akan membayarkan. Tetapi, jika sesiapa berhutang dengan niat menyeleweng, Allah akan musnahkan harta bendanya." Maksud ayat ´Allah akan membayarkan´ adalah Allah akan memudahkan rezeki orang itu agar dia dapat membayar hutangnya.
Penyakit suka berhutang ini jika diamalkan akan menjadi satu budaya dalam kehidupan. Hal ini boleh mendatangkan kesan negatif kepada pemuitang seperti muflis disebabkan bebanan hutang yang tinggi dan gagal melunaskannya. Antara kita sedar atau tidak, jiwa orang yang berhutang tidak akan tenteram dan aman. Hidupnya dalam kancah resah gelisah dihantui oleh bebanan dan tuntutan hutang yang tinggi.
Ada di antara kita tidak mengatahui bahawa seseorang yang berhutang akan terikat hidupnya di dunia dan akan tergantung amalan dan rohnya setelah meninggal dunia sehinggalah dilunaskan segala hutang piutangnya semasa hidup. Sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya, "Jiwa orang mukmin akan tergantung dengan hutangnya (iaitu tidak dihukum selamat atau celaka) sehinggalah dia menjelaskan hutangnya.”
Amalan berhutang ini bukan sahaja melibatkan kehidupan dunia semata-mata, bahkan ia berpanjangan hingga ke hari akhirat. Sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya:
"Sesungguhnya sebesar-besar dosa di sisi Allah ketika seseorang hamba itu berjumpa dengan Allah nanti selepas dosa besar lain yang ditegah ialah seseorang lelaki yang berjumpa dengan Allah di hari Hisab dengan mempunyai hutang yang belum dijelaskan lagi."
Mereka yang berhutang walau sebanyak mana sekalipun, amalan kebaikan yang dilakukan, ia tidak akan selamat di dunia dan di akhirat meskipun dia mati syahid. Rasulullah s.a.w sendiri tidak akan menyembahyangkan jenazah orang yang masih mempunyai hutang. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ali Karramallahu Wajhah, bahawa bila didatangkan kepada Rasulullah s.a.w satu jenazah, Rasulullah s.a.w tidak akan bertanya tentang amalan si mati, tetapi bertanya apakah si mati mempunyai hutang atau tidak. Jika si mati mempunyai hutang, baginda menyuruh sahabat baginda menyembahyangkan jenazah tersebut atau baginda meminta sesiapa yang sanggup menaggung hutang si mati. Jika tiada, maka hutang tersebut akan diserah atau ditanggung oleh pihak Baitulmal.
Apabila seseorang itu berhutang, maka ia wajib membayarnya semula dengan kadar segera setelah berkemampuan berbuat demikian. Bagi mereka yang suka melewat-lewatkan pembayaran hutang walaupun berkemampuan boleh mendatangkan kesan yang buruk terhadap kehidupan mereka. Kesan ini bukan sahaja di dunia malah di akhirat. Mereka akan ditimpa kehinaan dan hilang maruahnya. Hidup mereka tidak akan mendapat keredhaan dan keberkatan Allah s.w.t. Perbuatan mereka itu digolongkan dalam perbuatan zalim. Amalan kebajikan mereka tidak akan diterima.
Seseorang yang berhutang itu, telah berjanji untuk membayar hutang mengikut sesuatu tempoh, tetapi dia tidak menepatinya, maka dia tergolong dalam golongan orang yang munafik.
Bagi menjamin hubungan mesra sesama manusia, adalah menjadi kewajipan dan tanggungjawab si pemiutang untuk membayar semula apabila sampai tempoh perjanjiannya. Jangan sekali-kali menangguhkan pembayaran hutang tersebut apabila mempunyai peluang untuk membayar hutang kerana perbuatan tersebut digolongkan dalam perbuatan zalim dan dia berhak mendapat hukuman di atas perbuatannya itu.
Kita mesti mempunyai sifat syukur kepada Allah s.w.t dengan apa yang telah kita miliki dan melaksanakan sifat amanah serta tanggungjawab agar kita dilindungi daripada bahaya dunia dan akhirat.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan